Abdul
Rahman bin Auf merupakan salah seorang sahabat Rasulullah SAW yang hartawan
namun tetap zuhud. Beliau telah banyak membelanjakan
harta kekayaannya ke jalan agama. Beliau adalah seorang usahawan yang
termasyhur ketika itu (seorang bilionair jika dibandingkan dengan zaman
sekarang). Abdul Rahman bin Auf juga adalah seorang saudagar dan usahawan
termasyur yang telah dijanjikan syurga. Beliau sangat banyak menyumbangkan
hartanya pada jalan Allah. Apabila diminta untuk menderma, pasti tidak akan
ditolaknya.
Berikut
adalah tips perniagaan yang boleh kita ambil dari seorang korporat Islam yang
amat tersohor dalam bidang perniagaan iaitu Saidina Abdul Rahman Bin Auf:
1- Sikit, tapi untung
Salah
satu perniagaan yang dijalankan oleh beliau adalah perniagaan unta. Beliau
berjaya mendominasi perniagaan unta ini yang sebelum itu telah pun didominasi
oleh kaum Yahudi. Persoalannya, bagaimana Abdul Rahman bin Auf mampu
mematahkan strategi kaum Yahudi?
Konsepnya
mudah, untung sedikit tetapi dalam kuantiti yang banyak. Setibanya Saidina
Abdul Rahman berhijrah dari Mekah ke Madinah, beliau ditawarkan oleh seorang
saudaranya yang baru sama ada mahu memiliki kekayaan atau isterinya, namun
beliau lantas memilih agar ditunjukkan sahaja di mana letaknya pasar.
Dari
situ, beliau memulakan perniagaan menjual unta. Harga unta yang dijual hanya
1000 dirham (tiada untung kerana harga kos unta adalah 1000 dirham juga!).
Beliau hanya mengambil untung atas jualan tali yang mengikat unta
tersebut! Bayangkan beliau dapat menjual 1000 ekor unta dalam masa sehari
sahaja.
Beliau
langsung tidak mengambil keuntungan dengan hasil jualan unta, namun apabila ditanya
kepada beliau, beliau menjawab:
Keuntungan
tidak diambil dari hasil penjualan unta. Unta dijual pada harga kos. Tetapi,
keuntungan diambil dari menjual “tali pengikat unta”.
Dari
situlah datangnya keuntungan beliau berniaga. Tali-tali yang dijual adalah
cantik dan bermacam- macam warna. Jarang orang lain yang berniaga unta dapat
menandingi kelebihan beliau berniaga.
Sebenarnya,
pada zaman ini ramai peniaga-peniaga yang menggunakan strategi ini, lebih-lebih
lagi peniaga yang mempunyai modal pusingan yang besar.
Ramai
peniaga-peniaga terutamanya kedai-kedai borong yang menjual pada harga rendah
bagi barangan yang biasa dibeli pengguna, namun secara ‘tersembunyi’ menaikkan
harga bagi sesetengah barangan mereka.
Pembeli
yang sudah ‘kerasukan’ membeli barangan mereka pasti akan tidak sedar bahawa
sesetengah barangan mahal pula harganya, namun tetap berbelanja dengan alasan
‘malas’ untuk pergi ke kedai lain.
Strategi
ini jarang sekali dilakukan oleh para peniaga. Tidak ramai yang berani
mengambil risiko ini kerana jika tersilap langkah, kerugian besar yang menanti
peniaga.
Selain
itu, Saidina Abdul Rahman bin Auf pernah ditanya tentang apakah strategi
perniagaannya yang lain sehinggakan menjadi hartawan yang terkemuka pada zaman
itu?
2- Syukur Walau Untung Sedikit
“Aku
tidak pernah menolak keuntungan walaupun sedikit.”
Frasa di
atas sangat memberikan kesan yang positif bagi para usahawan dalam mengatur
strategi perniagaan. Jangan sesekali ambil mudah soal keuntungan yang bakal
diambil dari pembeli, dan jangan pula mengambil mudah soal halal dan haram
dalam perniagaan.
Sebagai
contoh, sekiranya kita mempunyai kos tanggungan seperti kos penghantaran, kita
harus bijak mengira kos supayakeuntungan dapat ditampung walaupun kos
penghantaran produk biasanya tidaklah seberapa. Dari segi halal haramnya,
jangan pula ada unsur-unsur riba dalam menguruskan perniagaan.
3- Jangan Seksa Pelanggan
“Aku
tidak pernah melambatkan penjualan barangan daripada yang meminta.”
Sekiranya
ada permintaan, beliau akan sedaya upaya mendapatkan barangan yang diminta oleh
pelanggan. Strategi ini boleh diaplikasikan dalam perniagaan yang dijalankan.
Ada segelintir usahawan yang bersikap ‘malas’ dan mengambil mudah perkara ini.
Sekiranya
pelanggan bertanyakan tentang sesuatu barangan, peniaga hanya membiarkan
pelanggan berlalu pergi dengan menyatakan, “Barang yang diingini tidak dijual
disini”.
Peniaga
yang bijak tidak akan mudah ‘melepaskan’ pelanggan seperti ini, sebaliknya akan
berusaha sedaya upaya mendapatkan bekalan barangan yang diminta dari jaringan
rakan-rakan perniagaannya yang lain.
4- Sila Bayar Tunai
“Aku
tidak menjual secara tangguhan bayaran.”
Abdul
Rahman bin Auf tidak mengamalkan cara tangguhan bayaran yang rata-rata ramai
dikalangan para peniaga yang mengamalkan teknik ini. Beliau menjalankan
urusniaga dalam bentuk tunai.
Sebenarnya
dengan mempercepatkan bayaran, peniaga akan mendapat pusingan modal dengan
lebih cepat, dan mudah untuk digunakan bagi membeli barangan yang baru untuk
dijual.
Seterusnya
timbul pula persoalan mengapa Pasar Ansar kepunyaan Rasulullah SAW di Madinah
mencipta sejarah menang besar dalam persaingan perniagaan dengan peniaga yahudi
atau orang bukan Islam Madinah?
Rahsianya
penting yang harus peniaga Islam ketahui ialah setiap malam yang sepi waktu
dinihari, para pelaksana perniagaan diketuai oleh Saidina Abdul Rahman bin ‘Auf
r.a. sendiri akan bermunajat kepada Allah dan Rasul, untuk menyokong dan
memberi kerjasama dalam perniagaan mereka.
Mereka
semua melakukan solat hajat, berdoa, taubat, zikir wirid, membaca Al-Quran,
selawat dan lain-lain ibadah sampingan demi mendapatkan Tuhan sebagai penolong
dan pemimpin. Maka jatuhlah ke hati mereka mukjizat Rasulullah SAW mengajarkan
bagaimana perniagaan menurut Islam atau cara berniaga yang disuruh Allah SWT.
Mereka
akhirnya dapat menawan hati penduduk kota Madinah. Para penduduk mula beralih
daripada peniaga yahudi kepada peniaga pimpinan Abdul Rahman bin auf r.a.
Beliau memupukkan rasa kasih sayang sesama peniaga dan para pelanggan.
Rindu
untuk duduk bersama Rasul dan para sahabat membuatkan orang Madinah akhirnya
berpusu-pusu membeli di Pasar Ansar. Maka akhirnya peniaga yahudi mula
meninggalkan kota Madinah.
Begitulah
kehebatan strategi perniagaan yang diamalkan Abdul Rahman bin Auf yang harus
dijadikan contoh kepada kita lebih-lebih lagi sebagai peniaga. Hamka amat
tertarik dengan jawapan yang telah diberikan oleh Abdul Rahman bin Auf.
Jika ada
yang bertanya tentang rahsia perniagaannya, Abdul Rahman bin Auf menjawab;
“Aku
tidak menjual barang-barang cacat, aku merasa cukup dengan untung yang sedikit
kerana aku tahu Allah memberkati..”
Kehebatan
beliau dalam perniagaan tidak dapat disangkal lagi. Sejarah pernah merekodkan
bahawa beliau pernah menjual seribu ekor unta dalam masa sehari sahaja. Beliau
menjualnya dengan harga yang murah, beliau hanya mengambil untung atas tali
yang mengikat unta sahaja
5- Usaha secara berterusan
Kita
lihat kekuatan jiwa yang dimiliki oleh Saidina Abdul Rahman dalam berniaga. Dalam
peristiwa Hijrah, beliau sanggup tinggalkan kekayaan semata-mata menyahut
seruan Hijrah. Namun, beliau cepat-cepat berusaha mengubah nasib diri setibanya
di Madinah berbekalkan modal yang ada. Kita juga harus bersikap sedemikian,
jangan mudah mengalah jika bankrup atau gulung tikar.
6- Keyakinan yang jitu kepada Allah
Orang
beriman dan bertakwa yang kaya adalah mereka yang senantiasa memiliki keyakinan
bahawa segala usaha yang mereka kerjakan pasti mendapat keberhasilan tidak kira
cepat atau lambat, sedikit atau banyaknya untung.
Kesimpulan
ringkas yang dapat dibuat daripada strategi perniagaan Abdul Rahman bin Auf:
1.
Jangan menolak rezeki walaupun sedikit. Adakalanya kita terpaksa menurunkan
keuntungan perniagaan kita. Dengan itu, keuntungan masih kita perolehi. Rezeki
masih menyebelahi kita walaupun sedikit.
2. Percepatkan
segala urusan jual beli. Percepatkan segala layanan pelanggan. Terbukti dari
zaman dahulu sehingga kini, kelajuan dan kepantasan menangani masalah dan
pelanggan dalam perniagaan akan memberi pulangan yang tinggi. Pelanggan pula
akan suka kepada peniaga sebegini. Dengan memudahkan urusan pelanggan, besar
kemungkinan pelanggan akan melanggan buat kali kedua dan seterusnya.
3. Urus
niaga haruslah dijalankan dalam tunai sahaja. Di mana ia akan menguntungkan
kedua belah pihak samada pelanggan mahupun peniaga.
No comments:
Post a Comment